PENTERNAKAN IKAN PUYU

AMIR PENTERNAK IKAN PUYU

AMIR-PENTERNAK-IKAN-PUYU 

        Ikan puyu seringkali dikaitkan dengan kepercayaan mistik. Mitos mengenai ikan puyu yang kononnya dapat menjadi penghalang serangan toyol dan ilmu hitam bukanlah sesuatu yang jarang kita dengar. Malah ada juga yang mempercayai memelihara ikan puyu boleh dijadikan ‘tangkal’ bagi menghalang perbuatan jahat.Selain memelihara ikan puyu untuk tujuan perhiasan atau menjadikannya penghalang kuasa jahat, tidak kurang juga yang menjadikannya sebagai juadah.

 

KELEBIHAN IKAN PUYU

        Ikan puyu mempunyai khasiat yang sama dengan ikan-ikan air tawar yang lain, biarpun persepsi masyarakat menganggap ikan puyu sebagai ikan paya atau ikan lumpur. Ikan puyu merupakan spesis ikan air tawar paling lasak kerana bentuknya bersisik licin dan bersirip tajam, mempunyai jangka hayat yang lama dan mampu hidup lebih lama di atas darat walaupun tanpa air. Biasanya ikan puyu ini akan dibiarkan untuk tempoh 2-3 hari sebelum dimasak bagi tujuan menghilangkan bau lumpur.

PERSEKITARAN ALA RESORT

      Seorang usahawan Melayu tempatan di Melaka gigih mengusahakan ternakan ikan puyu secara komersil. Tapak projek ternakannya terletak lebih kurang 14 kilometer dari pekan Alor Gajah, iaitu di Kg Baru Taboh Naning, Jalan Taboh Naning, Melaka. Syarikat Sempadan Gemilang Enterprise milik Encik Amir bin Haji Asran terletak di kawasan perkampungan yang di sekitarnya terdapat pokok buah-buahan seperti pisang dan rambutan.

      Rumah banglo dua tingkat yang dibina sendiri Encik Amir dikelilingi pokok kelapa, pokok palma, pokok bunga kertas dan bonsai menyerlahkan keindahan persekitaran landskap rumah beliau. Pokok-pokok ini meredupkan kawasan sekitar tapak di samping menjadi sempadan antara kolam-kolam ikan.

 

PENCETUS SEMANGAT

      Minat untuk berniaga sendiri telah timbul seawal beliau berumur 17 tahun. 20 tahun selepas itu, Encik Amir boleh berbangga kerana beliau merupakan salah seorang pelopor dalam bidang ternakan ikan puyu di negeri Melaka.

 
      Sejarah Encik Amir berniaga sendiri bermula dengan menjual buah-buahan selepas tamat tingkatan lima. Minat yang mendalam untuk menjadi usahawan berjaya menyebabkan beliau mengambil keputusan untuk menamatkan pendidikan formal ke peringkat STPM. Sebagai permulaan, beliau berhijrah ke Brunei. "Nak melihat negeri orang", ujar Encik Amir ringkas.

      Kesenangan dan kejayaan yang dicapai hari ini adalah dengan usaha sendiri. Usaha lebih akan menghasilkan ganjaran yang lebih. Melihat orang lain hidup senang dan berjaya telah mendorong beliau untuk memulakan perniagaan sendiri.

PERMULAAN YANG SEDERHANA

      Tapak projek dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan asas seperti air, elektrik, telefon dan sistem perparitan yang sempurna. Untuk sampai ke tapak projek bukanlah satu masalah kerana ia boleh dihubungi oleh semua kenderaan darat melalui jalan raya utama. Kini, terdapat 12 buah kolam tanah dan 18 buah kolam konkrit. Kolam-kolam ini digunakan untuk penetasan benih ikan, penternakan dan penghasilan induk ikan.

 

POTENSI IKAN PUYU

      Mengapa agaknya Encik Amir memilih ikan puyu untuk dikomersilkan? Berpotensikah ia? Ikan puyu (Climbing Perch) atau nama saintifiknya Anabias Testudineus, turut dipanggil ikan betok oleh penduduk tempatan. Habitat ikan puyu biasanya di sawah padi, tasik, paya, lubuk dan anak sungai.

 

      Melihat ikan puyu di dalam kolam dan sangkar penetasan mengundang pelbagai persoalan. Mampukah ikan sekecil ini menarik minat pembeli? Berjayakah ia jika dikomersilkan secara besar-besaran? Saiznya yang kecil dan warnanya yang gelap begitu jauh sekali dengan ternakan aqua-culture yang lain. Bila melihat keadaan ini, pasti ramai yang tertanya-tanya sejauh manakah perusahaan ini akan berjaya.

      Walaupun rupanya kurang menarik, tetapi rasanya sedap!", tegas Encik Amir. Memang ramai yang kurang sedar bahawa rasanya yang sedap dan isi yang lembut telah menarik permintaan yang tinggi dari pemborong dan pembeli. Ini kerana ia mempunyai pelbagai khasiat seperti menahan serangan penyakit, meningkatkan tenaga lelaki dan melambatkan proses penuaan bagi wanita. Ikan puyu amat enak digoreng, dimasak lemak cili api atau masak sambal.
Kini,

 

      Encik Amir mampu mengeluarkan 250,000 benih ikan puyu sebulan berdasarkan permintaan pelanggan. Induk ikan puyu diperolehi daripada kawasan paya setempat selain diambil dari Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah, Perlis dan Negeri Sembilan. Anak ikan betina dijual dengan harga 30 hingga 40 sen seekor, manakala anak ikan jantan dijadikan induk. Selepas 4 atau 5 bulan, ikan-ikan mampu mencapai tempoh matang dan seberat sehingga 250 hingga 300 gram seekor, telah sedia untuk dipasarkan.

 

USAHAWAN BERWAWASAN

      Setelah hampir 17 tahun bergiat dalam projek ternakan ikan air tawar ini, Encik Amir berharap agar segala titik peluhnya terbayar melalui kepuasan hati pembeli dan pelanggan-pelanggannya. Beliau turut  menyediakan Kursus tentang ternakan ikana air tawar. Encik Amir juga bersedia memberi nasihat dan menjadi konsultan kepada pengusaha-pengusaha yang ingin menceburi bidang ini.

      Di samping mengusahakan ternakan ikan puyu, beliau turut menceburi bidang landskap, membuat pelan kolam serta menjual pokok bunga.

 

      Usaha dan wawasan Encik Amir wajar dijadikan contoh kepada usahawan-usahawan baru yang ingin memulakan perniagaan

 

      Pada Tahun 2007 En Amir dianugerahkan USAHAWAN IKAN AIR TAWAR Peringkat Negeri Melaka.

This entry was posted in Uncategorized and tagged , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>